Sudah setahun musibah koronavirus melanda dunia, namun harapan untuk menyaksikan wabak ini segera hilang di muka bumi masih belum menampakkan sinar.
Kes positif COVID-19 di Malaysia juga tidak susut dan masyarakat pula seolah-olah sudah keletihan dengan kehidupan norma baharu sehingga culas pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Mungkinkan mereka sudah berasa kebal terhadap jangkitan, atau sudah terlalu ‘penat’ sehingga tidak endah lagi dengan SOP?
Pengarah Perubatan Klinik Pakar Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Mohd Radzniwan A. Rashid berkata ‘kelesuan pandemik’ mungkin menjadi antara faktor menyumbang kepada pengabaian dan sikap tidak acuh individu terhadap pematuhan SOP bagi membendung penularan pandemik COVID-19.
“Kelesuan berkenaan didorong oleh beberapa fasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan sejak Mac tahun lepas. Jika kita melihat kepada PKP pertama dahulu, rakyat rata-rata bersemangat dan bersama-sama berganding bahu dengan kerajaan bagi membendung penularan COVID-19 dan kita berjaya melandaikan keluk kes jangkitan COVID.
“Namun sejak September tahun lepas ditambah dengan kebenaran merentas negeri serta Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kes positif COVID-19 kian bertambah. Ini membuatkan rakyat mula letih dan berfikir bila pandemik ini akan berakhir,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Pada 16 Jan, Malaysia pertama kali merekodkan kes harian tertinggi iaitu 4,029 kes sejak pandemik itu melanda negara. Sehingga semalam, kes kebolehjangkitan direkodkan adalah 42,814 kes manakala jumlah kematian akibat wabak itu sebanyak 660.
Pada suatu ketika Malaysia berjaya melandaikan keluk jangkitan namun trend angka kes jangkitan tempatan saban hari kini menunjukkan situasi menggerunkan menuntut persoalanan – apa yang tidak kena dengan strategi kita mencegah penularan koronavirus yang boleh membawa maut ini?
Mengupas persoalan, pensyarah perubatan di Fakulti Sains Perubatan dan Kesihatan USIM itu berkata kelemahan kawalan kendiri adalah faktor utama menyumbang kepada peningkatan kes jangkitan tempatan.
“Sekarang ini, ada mengikut SOP dan ada yang tidak. Mengapa? Ini adalah kerana ‘kelesuan pandemik’ yang menyebabkan mereka leka dan tidak berwaspada meskipun saban hari kerap diingatkan supaya menjaga penjarakan fizikal, kerap membasuh tangan dan memakai pelitup muka.
Meskipun diakui video-video menggerunkan memaparkan keadaan individu dijangkiti tersebar luas di media sosial ketika PKP pertama, banyak membantu meningkatkan kesedaran awam tentang bahaya COVID-19, namun kini ia tidak lagi memberi kesan.
Dr Mohd Radzniwan berkata peningkatan kes positif kebelakangan ini antara lain berpunca daripada kelekaan masyarakat tentang bahaya COVID-19, berbanding ketika awal pandemik.
Katanya semasa peringkat awal PKP dilaksanakan secara ketat pada Mac tahun lepas, rakyat tertunggu-tunggu perkembangan situasi semasa COVID-19, selain mendapat maklumat dan video yang diperoleh di media sosial sehingga mencetuskan rasa bimbang untuk keluar.
“Namun kini kerana berasa selesa dengan persekitaran semasa, ada yang beranggapan mereka sentiasa selamat dan tidak akan dijangkiti, mereka alpa. Kegusaran kita adalah kita tidak tahu siapa yang positif memandangkan ada tidak bergejala… ini harus kita bimbangkan,” katanya.
Pakar Perunding Kanan Psikiatri Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin yang senada dengan Dr Mohd Radzniwan bersetuju faktor ‘kepenatan’ orang ramai mematuhi SOP, selain ada pihak tertentu yang tidak menunjukkan pematuhan SOP menyebabkan wujud sikap tidak acuh dalam kalangan masyarakat.
Menjawab persoalan seakan wujud undang-undang berbeza antara rakyat dan pemimpin, Naib Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah berkata rakyat perlu bijak dan tidak terikut dengan sikap yang tidak boleh dicontohi.
“Kenapa rakyat mesti ikut pemimpin yang tidak boleh dicontohi? Rakyat perlu cerdik dalam memahami slogan ‘Kita Jaga Kita’. Pemimpin politik hari ini tidak boleh dicontohi selagi mana mereka tidak ada integriti,” katanya dan bersetuju tindakan berat sebelah yang diambil pihak berkuasa turut menyumbang kepada faktor peningkatan kes secara mendadak.
“Sebab itu, undang-undang tidak boleh pilih kasih walaupun terhadap pemimpin… salah tetap salah, termasuk jika yang melakukan itu adalah menteri. Jika rakyat saja yang kena, akhirnya nanti rakyat sudah tidak percaya kepada undang-undang dan keadaan akan jadi lebih buruk,” katanya.
Beliau berkata COVID-19 hanya dapat dikawal sekiranya pemimpin dan rakyat berganding bahu mematuhi SOP ditetapkan.
“Isunya sekarang pemimpin terlalu berpolitik. Wabak tidak kenal pemimpin atau siapa pun dan berapa ramai menteri dan pemimpin kena COVID-19? Pemimpin sebegini tidak boleh dicontohi atau diikuti,” katanya.